Islam adalah agama yang utuh yang mempunyai akar, dimensi, sumber dan pokok-pokok ajarannya sendiri. Barangsiapa yang istiqamah dengannya, maka ia termasuk dalam al-Jama’ah, atau firqah najiyyah (kelompok yang selamat). Barangsiapa yang keluar atau menyimpang darinya pula, maka ia termasuk dalam firqah halikah (kelompok yang binasa). Termasuk dalam firqah halikah ini adalah aliran liberal. Liberalisme merupakan satu ideologi yang bermula dari Barat, yang memiliki teori dan pandangan hidup yang berbeza dari arus Islam perdana.

Dewasa ini menyaksikan kebangkitan gerakan liberalisasi di negara kita. Berbanding dengan pendokong liberalisasi di negara jiran iaitu Indonesia, yang secara terang-terangan mengisytiharkan gerakan mereka sebagai Jaringan Islam Liberal (JIL), gerakan liberalisasi di negara kita pula lebih selesa berselindung di sebalik nama-nama gerakan Islam - Sisters in Islam, Jamaah al-Quran Malaysia (golongan anti Hadith) dll. Tidak kurang juga yang bergerak secara individu tanpa bernaung di bawah mana-mana organisasi. Namun mereka tetap saling menyokong antara satu sama lain. Mereka juga mempunyai persefahaman ideologi dan pemahaman yang serupa dalam isu-isu tertentu, terutamanya dalam isu hak asasi manusia dan seruan kepada pembaharuan dalam agama (Islam).

Mereka cuba utk menyesuaikan aliran sekular dan ajaran Islam dgn mengorbankan prinsip-prinsip asas Islam. Alasan mereka adalah mengambil aliran Islam yg ’sederhana’ dan ‘toleran’, baik kpd umat Islam mahupun kpd golongan non-Muslim, demi meraih sokongan dan simpati dr kalangan masyarakat. Gerakan ini telah menjadi jaringan yg bergerak di negara-negara umat Islam dan lebih dikenali sebagai Jaringan Islam Liberal (JIL).

Walaupun tiada kesepakatan di kalangan pendokong-pendokong liberal, mereka tetap mempunyai persamaan dalam beberapa isu utama. Di antaranya adalah:

1. Kebanyakan liberalis (pendokong aliran liberalisme) percaya bahawa Islam menaja persamaan hak pada setiap individu, dan inilah pusat kepada pegangan mereka. Justeru, hak asasi manusia (human rights) merupakan isu terbesar yang diperjuangkan oleh golongan liberal.

2. Feminisme juga merupakan isu utama bagi golongan liberal. Atas alasan ini, mereka menentang sebarang hukum syara’ yang dianggap menindas dan mengetepikan hak wanita. Mereka amat kritis dalam memperjuangkan isu poligami. Selain itu, kebanyakan liberalis mempunyai persefahaman bahawa wanita dibolehkan mentadbir negara dan tidak harus diasingkan daripada lelaki, baik di dalam masyarakat mahupun dalam jamaah solat (ada juga yang membenarkan wanita mengetuai solat jamaah dan menjadi imam kepada lelaki, seperti kes Aminah Wadud baru-baru ini). Sesetengah feminist yang berada dalam kelompok liberal juga mempertikaikan, malah ada yang menentang pemakaian hijab di kalangan Muslimah. Mereka mendakwa apa-apa pakaian biasa sudah memadai wanita Muslim, dengan menggunakan hujah “Dan pakaian taqwa itulah (pakaian) yang paling baik” (al-A’raaf: 26)

3. Kelompok ini mendokong idea demokrasi moden yang didasari oleh fahaman sekularisme, dengan mengambil idea gereja (agama) yang dipisahkan dari urusan pentadbiran negara. Justeru, kewujudan hukum syara’ yang bertunjangkan al-Quran dan as-Sunnah melibatkan keseluruhan aspek kehidupan manusia dipertikaikan, bahkan ditolak oleh golongan ini. Mereka menyandarkan hujah mereka kepada teori dari puak Mu’tazilah, yang menyatakan bahawa hukum-hukum di dalam al-Quran hanya sesuai untuk golongan Muslim pada zaman permulaan Islam dan harus disesuaikan dengan hujah akal sebelum dipraktikkan dalam komuniti Islam hari ini. Ini juga bermakna liberalis menolak perundangan syariah yang dianggap terlalu konservatif (contohnya hukum hudud: sebat, rejam, potong tangan, bunuh).
4. Mereka juga mempertikaikan keshahihan Hadith Rasulullah dan menolak penggunaan Hadith sebagai sumber perundangan kedua dalam Islam selepas al-Quran.

5. Majoriti pendokong liberal menolak fatwa yang dikeluarkan oleh ijma’ dan jumhur ulama’. Mereka juga menolak idea bahawa urusan agama hanya layak dibicarakan oleh kelompok ulama’ yang mempunyai autoriti, kerana mereka lebih cenderung menafsirkan al-Quran menurut pandangan dan hujah akal semata-mata.

6. Toleransi - terutamanya toleransi dalam beragama - merupakan satu lagi isu utama yang diperjuangkan. Golongan liberal bertoleransi dan bersifat terbuka kepada dialog antara agama – Kristian, Hindu, Buddha dll. Mereka juga bersimpati dan membela kelompok yang diisytiharkan sesat dan terkeluar dari Islam / ASWJ – Qadiani, Anti Hadith, Ayah Pin dll. Bahkan mereka memberi kebebasan dalam beragama yang keterlaluan dengan menyelewengkan maksud ayat 256 Surah al-Baqarah: “Tiada paksaan dalam agama (Islam)”. Mereka membantah sebarang bentuk tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap individu dan kelompok Muslim yang murtad atas alasan ‘kebebasan beragama’.

7. Kelompok Islam Liberal menolak konsep jihad yang dianggap sebagai punca keganasan, dan cenderung kepada tindakan yang pada fikiran mereka tidak dikategorikan sebagai ganas dan zalim.

8. Mereka amat skeptikal dan meragui keupayaan Islam dalam setiap aspek kehidupan - ekonomi, sains, filosofi, sosial, pendidikan dll. yang disandarkan kepada Islam. Bidang-bidang ini diasingkan daripada ajaran Islam, yang disempitkan dalam lingkungan ibadah dan ritual semata-mata. Hal ini berkait rapat dengan ideologi sekularisme yang menjadi asas pegangan mereka, iaitu ideologi yang memisahkan urusan agama daripada urusan kehidupan yang lainnya.

9. Kelompok liberal juga cenderung menolak kisah-kisah sejarah (dan iktibar di sebaliknya) yang tercatat di dalam al-Quran - kisah umat-umat terdahulu serta balasan yang ditimpakan ke atas mereka kerana ingkar pada ajaran yang disampaikan oleh para Rasul. Mereka lebih cenderung menerima idea-idea saintifik golongan sekular yang dianggap lebih mudah diterima dan difikirkan dengan dengan logik akal (seperti teori evolusi).

Semoga ianya dapat dimanfaatkan untuk mempermudahkan kita mengenali kelompok liberal yang berselindung di sebalik nama Islam ini.

Allahu a’lam bisshawab..

Daripada Miqdam bin Ma’dikariba r.a. berkata:

“Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Hampir tiba suatu masa di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah Hadith daripada Hadithku. Maka ia berkata: Pegangan kami dan kamu hanyalah Kitabullah (al-Quran) sahaja. Apa yang dihalalkan oleh al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan. (Kemudian Nabi SAW melanjutkan sabdanya: Padahal apa yang diharamkan oleh Rasulullah SAW samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah SWT.” (HR Imam Abu Daud, hadith shahih).

Allahu a’lam bisshawab.

- N. Abdul Jalil