عن عوف بن مالك رضى الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إفترقت اليهود على إحدى وسبعين فرقة قواحدة فى الجنة وسبعون فى النار وافترقت النصارى على ثنتين وسبعين فرقة فإحدى وسبعون فى النار وواحدة فى الجنة والذي نفس محمد بيده لتفترقن امتى على ثلاث وسبعين فرقة واحدة فى الجنة وثنتان وسبعون فى النار , قيل يا رسول الله من هم؟ قال : الجماعة

Maksudnya :


Daripada ‘Auf bin Malik r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : “Umat Yahudi telah berpecah menjadi tujuh puluh satu golongan maka hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh lagi masuk neraka. Umat Nasrani telah berpecahbelah menjadi tujuh puluh dua golongan maka tujuh puluh satu masuk neraka dan hanya satu golongan masuk syurga. Demi tuhan yang diriku di dalam penguasaanNya, umatku akan berpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh dua lagi akan masuk neraka. Sahabat bertanya : Golongan mana yang akan selamat?. Nabi menjawab : Mereka adalah jamaah ( Golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah ). - Hadis Riwayah Ibn Majah

Peralihan masa telah membuktikan kepada kita dan membenarkan apa yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.aw kepada para sahabat baginda dan telahpun sampai kepada kita khabar tersebut. Selaku orang yang mengaku beragama islam, al Quran dan as Sunnah merupakan jalan penyelesaian yang paling selamat dengan berpaksikan kepada aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Golongan ini merupakan “jamaah” yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w di dalam hadis di atas.

Sehingga kini telah berlaku bermacam macam perkara dan perpecahan dikalangan umat islam, mereka menamakan kumpulan mereka dengan bermacam macam gelaran dan berselindung di bawah naungan kerajaan dan juga persatuan bebas ( NGO) samada dengan nama Islam Hadhari, Islam Liberal dan sebagainya. Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah mengenai Islam Liberal sahaja kerana artikel saya yang sebelum ini telah pun menghuraikan mengenai perbandingan islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dengan Islam Hadhari.

Islam Liberal sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa ianya satu ungkapan yang membawa erti “ islam yang menuju ke arah kebebasan dan lebih moden”. Ini merupakan satu penyelewengan yang jelas lagi nyata kerana Islam Liberal lebih menekankan kepada kebebasan dalam kehidupan tanpa ada sekatan dan halangan. Mereka berhujjah dengan salah satu dari firman Allah s.w.t yang membawa erti :

“Tiada paksaan dalam agama”

Ayat ini menyatakan paksaan dalam berdakwah kepada golongan non muslim, tiada paksaan kepada mereka samada untuk menerima islam mahupun tidak. Akan tetapi jikalau telah memeluk islam dan sememangnya berketurunan islam, maka wajib ke atas mereka untuk berada dalam islam dan memegang agama dengan sebenar benarnya tanpa ada penambahan dan sebagainya. Tidak boleh tidak kita terpaksa melaksanakan syariat islam walaupun tentangan hebat yang akan kita hadapi.

Sebelum ini negara kita kecoh dengan beberapa isu yang meggugat sentiment orang islam, antaranya ialah penolakkan draf hudud oleh Sisters In Islam ( SIS ) dan juga desakan oleh beberapa NGO supaya menghapuskan enekmen enekmen yang menghalang kebebasan rakyat dari sudut berpakaian, pergaulan dan sebagainya. Inilah dakyah dan propaganda yang dilakukan oleh musuh islam dan mengwar warkan kebebasan dalam kehidupan.

Golongan ini muncul dengan beberapa isu yang menggegarkan, antaranya mereka menghalalkan riba (faedah) bank, dari sudut pemakaian mereka tidak mengambil berat soal aurat dan sebagainya. Jika kita menyatakan bahawa aurat wajib ditutup maka mereka akan menyatakan bahawa itu adalah hak dan kebebasan kepada individu malah kita akan dicop sebagai kolot dan tidak bertamadun. Malah ada dikalangan mereka yang bercakap mengenai hukum hakam islam tetapi malang apabila mereka itu bercakap dalam keadaan tidak memakai tudung dan ada dikalangan mereka tidak pernah menutup aurat dengan sempurna. Bagaimanakah kita hendak bercakap tentang islam jika kita sendiri belum sempurna dari sudut penampilan islam??

Jaringan Islam Liberal (JIL) seperti yang muncul di Indonesia dan negara negara yang lain begitu membimbangkan kita kerana mereka begitu aktif menjalankan kegiatkan dakyah mereka kepada muda mudi, mereka mengecam pertubuhan ulama’ samada peringkat nasional mahupun peringkat antarabangsa dan mereka mempertikaikan hukum hakam islam walaupun hukum tersebut telah mencapai kepada tahap “qat’ie dilalah” iaitu satu tahap yang paling atas dan kita tidak perlu kepada ijtihad lagi. Tetapi mereka berijtihad walaupun hukum itu telah sampai kepada tahap “qat’ie dilalah”.

Asyraf Ali Asyqar iaitu salah seorang ulama hadis di India telah muncul dengan dakwaan bahawa islam sekarang menuju ke arah Islam Protesten bukan lagi Islam Ortodoks. Menurut beliau Islam Protesten ialah islam yang menerima semua dasar dasar semasa agar ia dapat memberi kebahagiaan kepada masyarakat, dan menurut beliau lagi Islam Ortodoks ialah islam yang memperjuangkan dasar fundamentalis agama islam seperti mereka yang berjihad untuk negara islam, mereka yang memperjuangkan agama islam dan sebagainya. Mereka ini di gelar Islam Ortodoks dan ketinggalan zaman. Perkara sebegini telah pun berlaku kepada agama Kristian, beliau membahagikan islam kepada aliran Protesten dan juga Ortodoks sebagaimana di dalam Kristian. Mereka mendakwa hendak menyinarkan islam dan menuju ke arah pembaharuan dalam agama mengikut perubahan waktu , tambahan pula masyarakat kita yang kurang ilmu agama amat mudah terpengaruh dan terpedaya dengan dakyah mereka.

Antara pengasas dan pendokong Islam Liberal ini ialah :

* Syiekh Ali Abdul Raziq ( Mesir-bekas Menteri Auqaf). Beliau telah mengarang kitab “ al Islam wa usulul hikmi”. Mufti Mesir ketika itu telah menfatwakan bahawa beliau telah sesat dan buku beliau telah diharamkan.

* Asyraf Ali Asyqar ( India-Ulama Hadis ) yang mendakwa adanya Islam Protesten dan Islam Ortodoks.

* Khalid Mohd Khalid ( Mesir-Lulusan Universiti Al Azhar) yang mengarang buku “ Min Huna Nabda”. Kitab tersebut di radd (disanggah) oleh Syiekh Mohd Al Ghazali di dalam kitabnya yang berjudul “ Min Huna Na’lam” dan seterusnya Khalid Mohd Khalid difatwakan sesat dan kitabnya diharamkan.

* Dr. Fuad Zakaria ( Mesir-Lulusan Universiti Al Azhar) mengarang di dalam akhbar harian Mesir iaitu “ Al Ahram” di bawah kolum “ al Haqaiq Wal Wahain”. Beliau menyeru rakyat Mesir agar bersama dalam Islam Liberal. Kebanyakan rakyat Mesir terpengaruh dengan kitab “ Mursyidul Amin Fi Tarbiyah Banat wal Banin” yang menekankan kepada kebebasan tarbiyah anak anak lelaki dan perempuan antaranya anak perempuan digalakkan buka aurat ketika berada di sekolah dan dibenarkan makan secara couple pada waktu rehat.

* Prof Dr Nur Khalis Majid ( Indonesia-Rektor Universiti Paramadina)

* Prof Dr Harun Nasution ( Indonesia-Bekas Rektor Universiti Syarif Hidayatullah)

* Novriantoni ( Indonesia-Wartawan JIL)

* Ramy El Dardiry ( Indonesia-Wartawan JIL)

* Zuhairi Misrawi (Alumni Universiti al-Azhar, dan Pemimpin Redaksi Jurnal Pemikiran Keagamaan PERSPEKTIF PROGRESIF, Jakarta).

* Ulil Abshor ( Pimpinan JIL Indonesia)

Itu merupakan beberapa contoh nama nama mereka yang menjadi pendokong kepada pergerakkan tersebut, kini Islam Liberal telah menular ke Asia Tenggara dan yang paling pesat berkembang ialah di Indonesia. Antaranya Prof Dr Nur Khalis Majid iaitu Rektor Universiti Paramadina Indonesia yang terang terang mengajak masyarakat Indonesia ke arah Mu’tazilah Moden iaitu ke arah logik akal semata mata. Mereka juga menggalakkan kepada kahwin campur antara agama dalam satu keluarga. Begitu juga Prof Dr Harun Nasution yang juga merupakan Rektor Universiti Syarif Hidayatullah yang membawa fahaman yang sama.

Di Malaysia ia merupakan sesuatu yang baru, ia mula timbul dan terkenal bermula dengan kes SIS dan lebih kurang 280 NGO beserta individu mendesak kerajaan agar segala jenis undang undang dan peraturan berhubung kesalahan moral dibatalkan. Tuntuan ini dipercayai berpunca dari beberapa isu antaranya peraturan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang melarang pasangan bercumbuan di taman taman awan, garis panduan pakaian yang diperkenalkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) serta serbuan JAWI di The Zouk Sebelum ini mereka bergerak secara sulit dan tidak begitu aktif, sekarang mereka mula berani bersuara untuk setelah Dr Aminah Wadud menjadi imam solat jumaat satu ketika dulu atas dasar persamaan hak antara lelaki dan wanita. Di antara mereka ( di Malaysia) yang mendesak agar dimansuhkan kegiatan nahi mungkar dan mengambil mudah dalam urusan agama ini ialah :

* Marina Mahathir ( Anak Mantan Perdana Menteri Malaysia)
* Astora Jabat ( Penulis Bicara Agama Utusan Malaysia dan Editor Majalah Al Islam)
* YB Zaid Ibrahim ( Ahli Parlimen Kota Bharu)
* Pertubuhan Sisters In Islam (SIS) . Antara pengasasnya ialah Dr Aminah Wadud
* Ivy Josiah
* Sivarasa
* Raja Aziz

Jika dahulu musuh islam menyerang islam secara terang terangan, kita mengetahui mereka secara jelas kerana mereka memang bukan dari golongan islam. Tetapi sekarang islam di serang dari dalam iaitu mereka yang mengaku beragama islam akan tetapi melancarkan serangan kepada islam dari dalam seumpama pepatah melayu yang mengatakan “ bagai api di dalam sekam” dan “musuh dalam selimut”. Mereka ini lebih merbahaya dari musuh yang nyata iaitu Yahudi dan Nasrani. Benarlah firman Allah ta’ala dari surah al Baqarah ayat 120 yang berbunyi :

ولن ترضى عنك اليهود ولن النصارى حتى تتبع ملتهم

Maksudnya :

“Orang orang yahudi dan nasrani tidak akan redha kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka”

Inilah yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadis yang saya nyatakan di atas tadi mengenai perpecahan umat islam. Sepatutnya kita mengambil apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang kerana kita merupakan hamba kepada Allah ta’ala, sebagaimana firman Allah ta’ala :

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya :

“Apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)”. - Surah Al Hasyr, 59: 7

Al Quran yang diturunkan merupakan satu pegangan dan petunjuk kepada kita manakala hadis nabawi pula menjadikan kita lebih optimis kepada ajaran islam tanpa ada was was dan kedua duanya bukanlah sekadar retorika semata mata, tetapi malang kerana JIL kita tidak mengambil ke dua dua sumber tersebut sebagai pegangan hidup dan mereka hanya berpandukan nafsu dan logik akal sahaja malah sanggup berijtihad kepada masalah masalah yang telah sampai kepada “qat’ie dilalah”. Kita tidak terlebih pandai dari Allah yang Maha Esa kerana kita hanya hambanya. Janganlah kita menilai dan mengambil apa sahaja yang perlu di dalam al Quran dan as Sunnah kemudian menolak sebahagian yang lain sehingga sanggup mencipta hukum hakam sendiri.

Pada dasarnya mereka mengatakan bahawa mereka masih berpegang teguh kepada ajaran islam dan beraqidahkan aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) cuma yang menjadi perbezaan ialah mereka mendakwa mereka membawa perubahan yang baru mengikut edaran masa. Kita boleh melihat kepada tulisan Zuhairi Misrawi (JIL Indonesia) ada mengatakan di dalam artikelnya yang berjudul “Fatwa Kemanusiaan atau Fatwa Kekerasan” :

“Tapi sekarang ini, dunia Islam mulai melirik pentingnya fatwa moderat, humanis dan progresif untuk menjaga kesesuaian agama dengan zaman dan ruang (shalihun likulli zaman wa makan)”.

“Di akhir tahun 1990-an, Israel menyerang Lebanon dan menewaskan sejumlah orang Islam. Peristiwa itu memantik respon keras dari masyarakat Mesir. Di Universitas al-Azhar pada saat itu muncul demonstrasi dalam jumlah besar untuk mengutuk serangan Israel. Pada saat yang sama, sejumlah orang mendaftarkan dirinya menjadi sukarelawan (mujahid fi sabilillah) di medan tempur.

Di tengah iklim yang tidak kondusif itu, Imam al-Akbar Syaikh al-Azhar, Sayyed Tantawi berfatwa, “Jihad ke Libanon tidaklah perlu, karena bekerja keras untuk menafkahkan keluarga dan mendidik anak-anak dengan baik adalah bagian dari jihad yang mesti diutamakan”.

Kalimat ini disampaikan selepas shalat isya’ di salah satu masjid di sekitar distrik-7. Saya biasanya melaksanakan shalat jama’ah di masjid tersebut, sehingga saya bisa mendengarkan ceramah-ceramahnya yang menyejukkan dan mendamaikan hati dan akal sehat. Fatwa progresif yang seperti di atas bukanlah satu-satunya fatwa progresif yang dikeluarkan oleh Syaikh Tantawi. Beliau mengeluarkan sejumlah fatwa progresif, antara lain: tidak wajib menerapkan hukum Islam di negara sekuler untuk kasus jilbab di Perancis; bunga bank halal; menerima tokoh Yahudi di al-Azhar; menolak untuk mengafirkan pemikiran seseorang dan lain-lain. Dalam menyikapi pengafiran atas Nashr Hamid Abu Zayd, pemikir muslim yang kini eksodus ke Leiden, ulama nomor satu di al-Azhar itu meminta agar Nashr Hamid kembali ke Mesir. Al-Azhar akan menerimanya.”

JIL juga menentang gerakkan jihad yang dilancarkan ke atas negara negara islam yang di ceroboh oleh kuffar sedangkan hukum jihad ketikamana negara umat islam diceroboh adalah fardhu ain dan wajib. Begitu lemah daya pemikiran dan kekuatan diri umat islam sekarang ini, benarlah apa yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w bahawa umat islam di akhir zaman ini semakin ramai tetapi laksana buih di lautan dan mereka di timpa satu penyakit iaitu penyakit “suka kepada dunia dan takutkan mati”. JIL mengajak kita agar tinggalkan seruan jihad, mengikut logik akal kita, jika kita meninggalkan jihad maka musuh islam akan bermaharajalela kerana mereka mengetahui bahawa orang islam semakin lemah dan tidak berdaya untuk menentang mereka.

Islam menjamin kebebasan dan hak asasi manusia. Namun islam tidak pernah sesekali mengizinkan penyalahgunaan kebebasan hak asasi tadi dengan memberikan lesen kepada pelaku maksiat dan kerja kerja mungkar. Sesungguhnya segala penyelesaian masalah terkandung di dalam al Quran dan as Sunnah.

Allahu a’lam bisshawab.

Oleh :
Muhamad Farhan Ismail
(Ibn Ismail al Jembali)
Jabatan Feqh Wa Usuluh
Universiti Mu’tah
Jordan.