Implikasi Liberalisme Terhadap Umat Islam Bhg 2
Respons Terhadap Pemikiran Islam Liberal
Adalah jelas bahawa pemikiran NHAZ dan yang bersamaan dengannya adalah bertentangan dengan pendapat jumhur para `ulama tentang al-Qur’an seperti yang terungkap dalam satu disiplin khusus yang dinamakan `Ulum al-Qur’an.
Pendapat yang diterima pakai secara jumhur ialah al-Qur’an itu dari segi lafaz dan makna adalah dari Allah (swt). Junjungan Muhammad SAW hanyalah sebagai penyampai sahaja. Baginda tidak mengapresiasi atau mengolah wahyu yang diterimanya.
Kedudukan Junjungan Muhammad SAW selaku penyampai wahyu adalah pasif. Baginda tidak menambah atau mengurangi apa yang telah diwahyukan kepadanya menerusi malaikat Jibril AS. Baginda terpelihara dari segala kesalahan, kerana beliau itu adalah ma`sum.
Al-Qur’an memperakukan hakikat tersebut dengan firmanNya; “Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Qur’an) menurut kemahuan hawa nafsunya.” (Al-Najm: 3). Bahkan al-Qur’an memberi ancaman kepada Nabi Muhammad (saas); “Seandainya dia (Muhammad) sebahagian dari perkataan atas (nama) Kami, niscaya kami pegang dia pada tangan kanannya, kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya.” (al-Haqqah: 44-46).
Memang benar bahawa teks al-Qur’an dalam bahasa Arab dan beberapa di antaranya berbicara tentang budaya ketika itu. Tetapi al-Qur’an tidak tunduk kepada budaya. Al-Qur’an justeru merombak budaya Arab dan membangun suatu polar pemikiran dan peradaban baru.
Istilah-istilah dalam al-Qur’an walaupun dalam bahasa Arab, tetapi ia telah mengalami makna yang baru berlawanan dengan kefahaman masyarakat jahiliah Arab dahulu.
Ketika konsep teks al-Qur’an dibongkar, dan dilepaskan dari statusnya sebagai “Kalamullah”, maka al-Qur’an itu akan diperlakukan sebagai teks bahasa dan sastera serta produk budaya. Ini bermakna bahawa teks al-Qur’an hanya dapat difahami sebagai metod sejarah (historisitis), tanpa memperhatikan bagaimana Junjungan Muhammad SAW dan para sahabat utama memahami ayat-ayat yang ditanzilkan dalam kehidupan mereka.
Banyak yang menyangka bahawa kajian teks al-Qur’an versi NHAZ adalah berangkat daripada tradisi Islam, pada hal kajian yang telah dilakukan oleh NHAZ adalah menyamai metodologi kajian di Barat yang berakar kepada kajian teks Bible yang bermasalah.
Pada hakikatnya NHAZ telah berusaha untuk menghidupkan semula kritikan orientalis Barat seperti Alphonse Minga, Arthur Jeffery, Burton, Joseph Puin dan ramai lagi, terhadap kesucian al-Qur’an.
Lihat sahaja ungkapan Mingana - seorang Profesor Arab Kristian yang berasal dari Iraq di Universiti Birmingham dalam tahun 1927. Katanya; “The time has surely come to subjet the text of the Kur’an to the same criticism as that to which we subject to Hebrew and Aramaic of the jewish Bible and the Greek of Christian scriptures.” (Adian Husaini dan Henri Salahudin, ms. 37-38). Nampak ketara kepada kita bahawa NHAZ ingin melupuskan kesucian al-Qur’an sehingga ianya boleh menjadi bahan kajian yang bersifat subjektif lagi.
Mengenai Arkoun, kita dapat membuat kesimpulan bahawa dia amat terpengaruh dengan kaedah historitis Marx. Beliau nampaknya tidak mahu mengakui metodologi untuk kepentingan al-Qur’an, tetapi menggunakan kajian al-Qur’an untuk mengesahkah keyakinan metodologi Barat yang diyakininya.
Al-Qur’an secara jelas merupakan sebuah Kitab untuk didengar, dan tentu untuk dibaca serta dilaksanakankan. Walaupun Arkoun menerima kesucian al-Qur’an dalam bentuk lisan, tetapi dia enggan menerima tuntutan untuk mendengar apa yang merupakan implikasi daripada penerimaan tersebut.
Sebaliknya, Arkoun bertanya perihal al-Qur’an, bagaimana ia menerapkan sebuah erti yang tidak pasti. Kerana begitu kuat dipengaruhi oleh pemikiran dan metodologi Barat termasuk idea “deconstructicism” Focoult, Darida dan Gama, amat banyak berlaku kesamaran, kekeliruan dan kebodohan dalam analisisnya.
Paparan Arkoun tentang al-Qur’an menjadikannya satu kajian matematik. Memang benar dakwaan Arkoun bahawa kajian kaedah al-Qur’an yang digunakan olehnya yang disebut sebagai “the close official corpus” (korpus rasmi tertutup) pada hakikatnya sama dengan penggali lubang kubur untuk dirinya sendiri.
Jika konsep al-Qur’an sebagai “Kalamullah” cuba diruntuhkannya, maka giliran berikutnya adalah Hadis Nabawi yang dalam beberapa dekad lalu telahpun dipolemikkan oleh sebahagian penulis Muslim seperti Kasim Ahmad. Mohamad Arkoun, umpamanya, menyatakan pandangan kontroversinya bahawa Hadis itu tidaklah suci kedudukannya kecuali setelah Imam al-Shafi`iy melakukan penyaringan terhadapnya.
Ungkapan Cak Nur sewajarnya dibantah. Apakah benar penganut Islam, Kristian, Hindu, Buddha, Konfusius dan sebagainya sama-sama menyembah Tuhan Yang Maha Esa dan sama-sama pasrah kepadaNya? Bukankah antara Islam dan Kristian serta Yahudi terdapat perbedaan aqidah yang sangat jelas?
Hal ini dapat dilihat dalam Surah al-Ma’idah:
Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: ‘Sesungguhnya Allah ialah Al Masih putera Maryam’, padahal Al Masih (sendiri) berkata: `Hai Bani Israil, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu`. Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya surga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun. Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: `Bahwasanya Allah salah seorang dari yang tiga`, padahal sekali-kali tidak ada Tuhan selain dari Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir diantara mereka akan ditimpa siksaan yang pedih. Maka mengapa mereka tidak bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Al Masih putera Maryam itu hanyalah seorang Rasul yang sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa rasul, dan ibunya seorang yang sangat benar, kedua-duanya biasa memakan makanan. Perhatikan bagaimana Kami menjelaskan kepada mereka (ahli kitab) tanda-tanda kekuasaan (Kami), kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling (dari memperhatikan ayat-ayat Kami itu). (Al-Maidah: 72-75)
Adalah jelas bahawa penganut Kristian telah melakukan amalan syirik - apalagi para penganut Hindu, Buddha dan lain-lain. Dalam subjudul sebuah makalah Cak Nur yang berjudul “Satu Tuhan, Beda Jalan”, dia menghurai dengan panjang lebar bahawa Islam juga mengakui kesahan agama-gama lain dan kitab sucinya. Jadi, jika diteliti ayat-ayat seperti ‘Dan sekiranya mereka sungguh-sungguh menjalankan (hukum) Taurat dan Injil dan (Al Qur`an) yang diturunkan kepada mereka dari Tuhannya, niscaya mereka akan mendapat makanan dari atas dan dari bawah kaki mereka. Diantara mereka ada golongan yang pertengahan. Dan alangkah buruknya apa yang dikerjakan oleh kebanyakan mereka.’ (Al-Ma’idah: 66) adalah jelas menolak dengan tegas konsep “inklusif” semua agama dunia.
Cak Nur nampaknya cuba mengelak daripada mengutip ayat-ayat al-Qur’an yang mengecam atau mengutuk sikap kaum Yahudi dan Nasrani seperti yang terdapat dalam Surah al-Ma’idah ayat 72-75.
Selain itu, pemikiran Cak Nur yang kononnya mendakwa bahawa dia banyak bergantung dengan hujah Ibn Taimiyyah ketika menjustifikasikan teologi inklusif, pada hakikatnya adalah berlawanan dengan apa yang telah ditulis oleh Ibn Taymiyyah secara komprehensif.
Dalam bab yang berjudul “Kaum Yang Dimurkai Allah Adalah Yahudi, Yang Tersesat Adalah Nasrani”, dalam kitab ini Ibn Taymiyyah menghuraikan dengan panjang lebar larangan Allah swt untuk menyerupai orang-orang kafir, khususnya Yahudi dan Nasrani, termasuk menghadiri perayaan-perayaan besar mereka. Ibn Taymiyyah telah mengutip sebuah Hadis yang menyatakan; “Sesungguhnya orang-orang Yahudi adalah yang dimurkai, sedangkan kaum Nasrani adalah yang tersesat.” (HR Tarmizi).
Jelas sekali tindakan Cak Nur mengutip-mengutip pandangan Ibn Taymiyyah untuk meletakkannya dalam bingkai “teologi inklusif dan pluralis” merupakan tindakan yang tidak bermoral. Benar sekali seperti ungkapan Adian Husaini dan Nuim Hidayat, antara tokoh muda intelektual Muslim Indonesia yang telah berjaya menggugah pemikiran Cak Nur secara khusus dengan kata-kata berikut; “Selama puluhan tahun Nurkholis berhasil membonceng nama besar Ibn Taymiyyah untuk memuluskan misinya, Gerakan Pembaharuan Islam Liberal. Sayang sekali, kaum Muslimin kurang mencermati hal yang sangat serius bagi aqidah Islam ini.” (Adian Husaini dan Nuim Hidayat, 2002, ms. 79).